Sudah lima enam kali saya lalu di hadapan bangunan ini semenjak ia masih dalam pembinaan lagi, tapi tidak berkesempatan untuk singgah. Bangunannya amat unik, menyerupai bangunan-bangunan yang biasa terdapat di negara China. Cuma bangunan ini terletak di Rantau Panjang, Kelantan dan dikenali sebagai Masjid Beijing ataupun Masjid Cina di kalangan penduduk tempatan. Nama rasminya kemudian adalah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra.
Masjid ini yang diilhamkan YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beliau juga yang telah merasmikan pembukaan masjid tersebut. Masjid ini unik kerana mengabungkan kebudayaan Cina serta Thailand yang menjadi asas perpaduan penduduk tempatan.
Yang lebih menarik jolokan Masjid Cina ini adalah kerana ia diuruskan sepenuhnya oleh masyarakat Cina Muslim tempatan dari iman sehinggalah kepada ajk-ajknya.












