Nampak muda belia mereka di dalam gambar di atas tu. Itu sebenarnya gambar saya bersama dengan rakan perguruan di Maktab Perguruan Kota Bahru, Kelantan (ketika ini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Kota Bahru) kelas Pengajian Matematik SR pada tahun 1995. Kelas kami ketika tahun pertama adalah seramai 35 orang tetapi disebabkan satu tragedi, kelas kami berkurang kepada 33 orang. Tragedi tersebut menyebabkan salah seorang rakan kami dari Segamat, Johor koma dan meninggal dunia kemudiannya. Rakannya sebiliknya pula dibenarkan berpindah pusat pengajian lain. Peristiwa itu berlaku apabila bilik penginapan mereka di asrama MPKB dicerobohi oleh seseorang dan berlaku pergelutan, arwah cedera parah apabila dipukul dikepala manakala rakan sebiliknya cedera di tangan dan badan.Akibat kecederaan parah di kepala, arwah koma hampir seminggu di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebelum menghembuskan nafas terakhir lebih kurang waktu subuh pada tarikh yang saya lupa. Kerana trauma, rakan sebiliknya yang tercedera berpindah ke maktab perguruan lain. Sudah 15 tahun peristiwa itu berlaku tetapi apabila saya melihat gambar di atas, peristiwa itu saya teringat tiba-tiba. Al-Fatihah untuk Alahyarhamah Norhayati bt. Ithnin.
Ramai daripada rakan saya di atas tidak pernah saya ketemu kembali selepas tamat pengajian. Mungkin ada antara mereka sudah bertukar tempat bertugas lebih dari sekali dan sudah berpindah dari negeri ke negeri. Mungkin juga kesemuanya sudah balik bertugas di negeri sendiri. Hehe... saya je yang masih setia di Johor dan sudah menjadikan negeri Johor sebagai kampung halaman... hehe. Jikalaulah ada rakan-rakan lama di MPKB terbuka blog saya ni, tinggalkanlah pesan, boleh la kita bertukar-tukar cerita masing-masing.
Gambar di atas ini pula adalah gambar kami sebelum bertolak ke Lata Belatan di Besut Terengganu untuk program Pendidikan Luar. Saya masih teringat suatu peristiwa semasa program ini berlangsung. Peristiwa itu berlaku ketika aktiviti yang dinamakan Burung Hantu pada waktu malam (saya salah seorang pengelola aktiviti ini) dalam hutan. Dalam aktiviti ini, peserta akan ditempatkan disesuatu tempat yang gelap berkeseorangan dalam satu jarak tertentu antara satu sama lain (pukul 11.00 - 1.00 pagi).Ketika program berjalan belum sampai setengah jam, tiba-tiba telinga saya dan rakan pengelola terdengar macam ada orang menangis. Mulanya kami biarkan kerana terfikir mungkin tangisan peserta. Tangisan itu kedengaran berterusan dan amat sedih sekali........kerana tidak sedap hati takut-takut sesuatu terjadi kepada peserta, lantas kami menamatkan program itu dengan memanggil kesemua keluar. Anehnya bila ditanya tiada siapa yang menangis...... adus berdiri bulu roma kami malam tu.
Itu satu dua cerita sebelum keluar menjadi pendidik. Jumpa tak yang mana satu TokNabe tu.








